top of page

Program ISM Komunikasi (Komunikasi Sosial)

IMG_7837.jpg

Belajar Komunikasi

Komunikasi bukan sekadar berbual, menyampaikan idea atau mengacara.  Komunikasi digunakan merentas disiplin ilmu.  Belajar komunikasi bererti belajar tentang manusia, belajar tentang bagaimana manusia berinteraksi, belajar tentang pemikiran manusia, belajar bagaimana manusia menginterpretasi makna melalui pelbagai media. Komunikasi juga membantu kita memahami keperluan hidup dan bagaimana kita memenuhi kehendak emosi dan fizikal.  Komunikasi membantu kita mengenali diri dan orang lain. Komunikasi membina jambatan dalam perhubungan dan yang paling penting dapat membina personaliti dan keyakinan diri.  Bertitik tolak daripada itu, Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) mula diperkenalkan pada tahun 2016 di UPSI.  Program ini ditawarkan dengan hasrat memberi ilmu dan latihan kepada pelajar bagi mendalami ilmu komunikasi, khususnya yang berkaitan dengan bidang pemujukan.

Dalam fasa awal pengajian, pelajar didedahkan dengan teori-teori dalam bidang komunikasi dan pemujukan; seperti psikologi komunikasi, komunikasi antarabudaya, komunikasi manusia, dan beberapa kursus lain yang menjadi asas kepada ilmu komunikasi itu sendiri.

Pada fasa seterusnya, pelajar didedahkan dengan kursus-kursus yang memberi pengalaman melakukan tugasan-tugasan yang bersifat ‘hands-on’ atau praktikal, iaitu menggabungjalinkan ilmu dan teori yang dipelajari dalam fasa pertama.  Pelajar dilatih menggunakan kamera dan menggunakan perisian komputer untuk menyunting video dan audio malah kelengkapan studio radio TMFaceLive (TMFL) dan studio rakaman video (Smart Studio) turut disediakan bagi tujuan belajar dan praktikal bagi kursus-kursus seperti Public Speaking, Komunikasi Visual dan Penulisan Pempromosian.  Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan teknik-teknik mengambil gambar, membuat penyuntingan serta menghasilkan tugasan-tugasan dalam bentuk yang kreatif  bagi kursus-kursus seperti Creative Advertising danTeknologi Media.  Mereka juga dilatih menggunakan perisian seperti Adobe Photoshop, Illustrator, InDesign dan pelbagai lagi.  Malah,  mereka turut dilatih teknik menulis bagi tujuan pemasaran, periklanan dan pemujukan seperti dalam kursus Penulisan Pempromosian dan Komunikasi Pemasaran Bersepadu.  Semua ini adalah bagi melengkapkan ilmu dan kemahiran yang penting untuk bersaing dalam dunia globalisasi sesuai dengan hasrat mendepani era Industri 4.0. 

 

Dalam fasa menuju graduasi, pelajar-pelajar dihantar menjalani latihan industri di organisasi-organisasi di dalam mahupun di luar negara.  Ilmu yang diperolehi di universiti kini perlu diaplikasi dengan bijaksana dan menepati hasrat organisasi.  Selain itu, mereka akan beroleh pengalaman dan ilmu daripada pengamal-pengamal dalam industri komunikasi itu sendiri melalui penyeliaan yang dijalankan.  Sekembalinya daripada latihan industri beserta semua pengalaman dan ilmu yang diperolehi itu akan diterjemahkan melalui projek tahun akhir yang menghendaki pelajar menghasilkan sebuah kempen sebelum mereka bergraduat melalui kursus Projek Kempen Komunikasi Sosial.  Atau, mereka boleh memilih untuk mengembangkan potensi mereka dalam bidang penyelidikan melalui Projek Penyelidikan.

 

Peluang Pekerjaan

Harus diingat bahawa belajar di universiti pada amnya bukan satu jaminan bagi mendapatkan pekerjaan.  Namun demikian, pelajar yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) di UPSI akan dilengkapi ilmu yang akan membantu mereka berfikir secara berkesan dan ditambah pula dengan kecekapan kemahiran tertentu yang dapat memberi nilai tambah kepada mereka untuk bersaing di dunia pekerjaan yang sebenar.  Ilmu dan kemahiran yang dibekalkan boleh menghasilkan graduan yang mampu berfungsi sebagai pegawai komunikasi korporat, pegawai perhubungan awam, pegawai pemasaran, pengarah kreatif, pengurus kempen, jurucakap produk, pegawai penyiaran, pensyarah, penganalisis data, jurnalis, usahawan dan pelbagai lagi kerjaya dalam bidang-bidang lain yang bersesuaian.

Kenapa Memilih Program Ini?

Program ini bertujuan melahirkan graduan yang dapat berfikir secara berkesan dan kritikal serta memiliki ilmu pengetahuan dalam bidang komunikasi.  Program ini dibentuk bagi menghasilkan graduan yang mampu menghasilkan kempen dan promosi berasaskan ilmu komunikasi, khususnya bidang pemujukan.  Mereka memiliki ilmu dan kemahiran bagi mengubah pemikiran masyarakat terhadap sesuatu isu terutama sekali bagi menambah baik nilai dalam kehidupan manusia.  Selain itu, hasrat kami juga adalah untuk menghasilkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan jasmaninya serta tinggi akhlak dan nilainya, selain mampu menjadi penggerak yang dinamik dalam pembangunan Malaysia.  Hasrat ini kami terjemahkan melalui ciri-ciri berikut yang perlu ada pada seorang graduan Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial):

1. Berilmu pengetahuan dalam disiplin ilmu komunikasi khususnya dalam aspek pemujukan            komunikasi sosial;

2. Boleh mengkomunikasikan idea dan pemikiran dengan jelas dan berkesan;

3. Boleh berfikir secara efisien dan kritikal terhadap isu-isu sosial yang berkaitan;

4. Boleh menjalankan penilaian dalam bentuk formatif dan sumatif, iaitu membuat kaji selidik        dengan mendapatkan data-data yang berkaitan dengan isu-isu dalam masyarakat dan                    menganalisis data berkenaan secara efisien;

5. Memiliki daya kreativiti yang tinggi dan boleh menghasilkan idea-idea kreatif dan

    diterjemahkan melalui pelbagai program dan aktiviti;

6. Boleh merancang, mengurus dan mengendalikan sesebuah majlis secara berkesan;

7. Boleh merancang, mengurus dan mengendalikan kempen komunikasi secara berkesan;

8. Memiliki dan mengamalkan piawai nilai moral, etika dan nilai-nilai murni tertinggi.

Dengan adunan kelapan-lapan ciri yang kami hasratkan ini, ayuh sertai kami, untuk mengalami transformasi minda, sahsiah, ilmu dan kemahiran bagi meneroka masa depan yang gemilang.

Pendaftaran
Pelajar Baharu - 01.09.2018

Selamat Datang dan Selamat Maju Jaya kepada para pelajar ISM Komunikasi (Komunikasi Sosial).

© 2023 by Little Tots Preschool.

Proudly created with Wix.com

  • TMFACElive
bottom of page